Membezakan Perniagaan Sebenar dan Skim Perniagaan di Internet

9 03 2010

Catatan ini saya tujukan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan di internet. Mereka masih baru dalam bisnes internet, jadi sering menjadi mangsa dengan skim bisnes, money game, head hunting, MLM online dan 1001 skim. Skim ini akhirnya lebur, hancur dan runtuh. Mereka yang baru setahun jagung terlibat dengan bisnes internet akan pasrah, kecewa dan motivasi berada di paras bawah.

Kecuali didorong oleh perasaan tamak dan inginkan pulangan segera, mereka yang baru berjinak dengan perniagaan di internet harus mencari ‘mazhab’ yang betul. Kenali industri, kenali pemain di dalamnya.

Mengenai pemain perniagaan internet sebenarnya tidaklah sesusah mana. Pemain yang hebat mempunyai ciri-ciri dan kualiti seperti berikut :

1. Mereka mempunyai komuniti dan selalu berinteraksi di internet. Mereka mempunyai rangkaian kenalan sosial yang luas dan mungkin juga mempunyai pengikut yang ramai. Mereka selalu berbincang dan bertukar-tukar pendapat. Sekali sekala mereka akan mengadakan pertemua tidak rasmi seperti sesi teh tarik.

2. Perniagaan mereka memerlukan usaha dan biasanya ia bukan berjaya sekelip mata. Mereka telah melalui zaman percubaan selama beberapa tahun sehingga mereka ketemui formula mereka sendiri dan membentuk lingkaran kenalan yang berkualiti.

3. Fokus dan mengkhusus kepada produk atau perkhidmatan bukan hanya wang semata-mata. Mereka akan berinovasi menghasilkan produk atau perkhidmatan dengan menitikberatkan kualiti supaya produk tersebut dapat meningkatkan kehidupan orang lain. Ia tidak mensasar jualan semata-mata. Mereka TIDAK PERNAH atau akan bercerita “Jika bayar RMxxx akan dapat pulangan RMzzz”.. Pantang mereka untuk

4. Mereka memberikan khidmat nasihat dan pandangan yang tanpa bias, prejudis atau berat sebelah. Mereka tidak pro kepada mana-mana pihak dan sering berada dalam keadaan berkecuali, natural dan kritis. Pandangan dan idea mereka ini sering kali diterbitkan secara percuma di internet melalui blog, ebook percuma atau forum. Dan seringkali juga, catatan mereka ini menjadi bahan rujukan tidak rasmi, diangkat sebagai autoriti untuk berbincang mengenai sesuatu topik.

5. Mempunyai personaliti dan identiti. Apa yang keluar dari mulut mereka biasanya adalah emas!

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah mendekatkan diri dengan individu ini. Mula berbaik dengan lingkaran kenalan disekelilingnya. Terlibat sama dalam perbincangan online, forum atau Facebook. Jika mempunyai masa, sertai sesi teh tarik mereka!

Sedikit sebanyak kita juga akan menjadi sebijak mereka dalam membezakan mana satu skim perniagaan atau perniagaan sebenar. Kita akan bijak membezakan yang mana intan dan yang mana kaca!






Mencari Kertas Kerja Perniagaan ?

8 02 2010

Mulai hari ini, anda boleh  memuat turun kompilasi kertas kerja perniagaan yang telah dikumpulkan dari pelbagai sumber. Dan ianya adalah percuma.

Tujuan saya mengumpulkan kertas kerja perniagaan ini adalah untuk membantu anda yang tercari-cari contoh kertas kerja. Saya banyak menerima email yang meminta bantuan untuk menyiapkan kertas kerja perniagaan masing-masing. Ramai yang keliru dan tidak pasti mengenai format yang sebenar. Oleh itu, dengan konsep kompilasi ini anda boleh memuat turun mana-mana kertas kerja dan lakukan perbandingan sendiri antara kertas kerja.

Bermula hari ini, saya akan keluarkan Kompilasi Kertas Kerja Perniagaan versi 1.0 yang mengandungi lebih kurang 11 kertas kerja perniagaan. Insyallah dari semasa ke semasa, jumlah kertas kerja ini akan bertambah.

Kertas kerja tersebut boleh DIMUAT TURUN PERCUMA DISINI.

Saya harapkan kertas kerja ini dapat membantu anda untuk memulakan impian perniagaan masing-masing.

Opss! Sebelum itu :

1. Kertas kerja ini hanyalah sebagai panduan dan bukan khidmat nasihat profesional. Oleh itu saya tidak tidak bertanggungjawab dalam risiko perniagaan masing-masing. Tiada jaminan pulangan keuntungan seperti contoh didalam kertas kerja.

2. Kertas kerja ini adalah didapati secara percuma di internet, di pejabat MARA, di kelab-kelab usahawan dan sebagainya. Ia bukan disediakan oleh saya. Saya hanya membantu untuk mengumpulkan kertas kerja tersebut dalam bentuk kompilasi.

3. Kertas kerja tersebut adalah hak cipta dan milik penulis. Penulis berhak untuk meminda, mengubah, menambah dan menarik balik kertas kerja tersebut.

4. Saya tidak membuat perundingan terhadap kandungan kertas kerja tersebut.

Moga membantu!






Foto Profil Pelaburan Jangka Panjang

26 01 2010

10 tahun dahulu, lebih ramai yang suka berselindung di balik nama samaran atau dan menggunakan foto gantian untuk mewakili individu. Ketika itu pengguna belum terdidik di internet, suasana belum menggalakkan, belum begitu terbuka dan keyakinan pengguna belum begitu tinggi. Jadi menyembunyikan identiti sebenar adalah tindakan yang bijak dan selamat.

Tahun demi tahun, kini semakin ramai yang menggunakan identiti yang sebenar dalam dunia maya. Dengan pengenalan rangkaian sosial seperti Facebook beberapa tahun lalu telah menggalakkan penggunaan nama sebenar di internet. Semakin hari, kepercayaan semakin bertambah dan pengguna lebih terdidik, maka lebih ramai memilih untuk meletakkan gambar sebenar pula.

Walaupun begitu, pemilihan foto profil yang tepat adalah lebih penting. Tetapi bagaimana memilih foto profil yang baik ?  Walaupun ia dipandang mudah, tetapi setiap foto profil memberi satu tanggapan yang berbeza di mata orang yang melihatnya.

Sama ada di dunia online atau offline, gambar individu memberi satu tanggapan mengenai diri usahawan. Tentunya usahawan itu sendiri perlu menjual diri sendiri, sebelum produk atau perkhidmatannya boleh terjual. Memilih foto yang cantik, kemas, berketrampilan dan juga meyakinkan. Sedikit senyuman yang terukir dapat membina hubungan dibantu dengan adanya eye contact. Apabila ciri-ciri mudah ini wujud, seolah-olah gambar profil tersebut sedang ‘berkomunikasi’ dengan pelanggan.

Bergambar secara individu dan berkot adalah cara pilihan kebanyakan kita tetapi ia hendaklah menunjukkan wajah dari sudut yang boleh dikenalpasti.  Ada juga yang mengambil gambar ketika tunduk atau memalingkan wajah ke tempat lain. Ada juga dengan sengaja menggelapkan wajah supaya sukar dikenalpasti. Tidak kurang juga yang fokus kepada anggota muka seperti mata atau bibir. Kecuali anda ingin mempromosikan anggota tersebut, gambar yang tidak menunjukkan wajah sejelas mungkin hanya memberikan gambaran yang negatif, kurang keyakinan diri atau tidak berani.

Jenis-jenis Foto Profil

1. Bergambar bersama individu berpengaruh. Perumpamaan Inggeris “great minds think alike” memberi makna bahawa golongan yang hebat ini mempunyai cara pemikiran yang sama sedikit sebanyak aura individu berpengaruh akan memberikan kesan positif kepada gambar. Bagi gambar secara berkumpulan pula akan memberi gambaran bahawa mereka yang hebat ini mempunyai satu lingkungan yang sama seperti kata pepatah Inggeris “birds of a feather flock together”.

2. Gambar dalam peristiwa. Gambar ini juga biasanya menunjukkan individu beraksi di dalam sesuatu aktiviti dan kejadian. Peristiwa ini akan menjadi penyokong kepada latarbelakang individu dan aktiviti yang disertainya. Satu kelemahan gambar sebegini adalah dari segi kualiti gambar yang kurang jelas melainkan diambil dengan kamera yang berkualiti juga.

3. Gambar outdoor dan santai biasanya memberikan refleks bahawa individu tersebut suka pada kebebasan suasana yang santai dan tidak formal. Pastikan latar belakang adalah bersesuai dengan penampilan yang ingin dibawa.

4. Gambar yang menunjukkan riak wajah. Gambar ini biasanya bersifat sederhan, ketika struktur badan yang bersahaja dan sedikit senyuman. Ia membentuk daya tarikan yang mampu mengusik emosi.

5. Gambar di studio. Ia bukan sahaja digunakan untuk foto profil sahaja,bersifat pelbagai guna. saya gunakan sebagai grafik di blog, laman web menjual di www.akademisms.com, biografi sebagai penulis di buku-buku dan juga sebagai gambar penyokong kepada profil korporat yang berkeyakinan.

Sekarang cuba anda fikirkan apakah kesimpulan yang dibuat oleh orang lain apabila melihat foto profil anda ? Fikirkan apa yang anda mahu mereka simpulkan mengenai anda, dan anda tentu tahu foto profil yang bagaimana paling sesuai untuk digunakan.






Tips Menulis Profil dan Deskripsi Peribadi

21 01 2010

Penampilan melalui foto di internet adalah penting kerana ia adalah cara pintas bagaimana orang mengenali diri anda. Sesuai dengan matlamat membina kenalan dan lingkungan rangkaian, semua orang sukakan penampilan yang menarik.

Perkara seterusnya yang dinilai adalah mengenai informasi diri. Cerita mengenai diri sendiri juga memberi tafsiran kepada orang lain. Ia boleh jadi dalam bentuk point atau dalam bentuk deskriptif yang menceritakan mengenai diri sendiri. Informasi tersebut juga selalunya bersifat positif, membina dan menyenangkan orang lain. Apabila dibaca, orang lain menjadi lebih selesa kerana memahami secara asasnya bagaimana diri seseorang.

Cuba anda senaraikan 8 perkara yang baik tentang diri anda dalam masa 16 saat.

Boleh ?

Ada diantara kita merasa kurang senang dan tidak selesa apabila bercakap perkara yang positif tentang diri sendiri. Sangat susah untuk meluah rasa, kadang kala terpaksa berfikir sejenak “Apa yang baik dalam diri saya?”..

Tips Menulis Deskripsi Diri

1. Tidak ada yang salah atau betul dalam menulis deskripsi diri. Anda boleh tulis sesuka hati anda. Pertama kali menulis, jangan fikirkan apa yang orang lain fikirkan tentang diri anda.

2. Buat dalam masa sesingkat mungkin. 8 perkara positif dalam masa 16 saat. Apa yang terlintas dalam masa 16 saat, itulah diri anda yang sebenarnya.

3. Buat satu deskripsi ringkas, kemudian tinggalkan. Jangan lihat atau preview selama beberapa hari. Sekiranya anda ingin mengubah atau menyedapkan deskripsi lakukan selepas itu.

4. Berikan orang lain, rakan atau kenalan untuk membaca deskripsi tersebut. Tanya apa pandangan mereka, apa yang mereka boleh tafsirkan dengan deskripsi tersebut. Adakah sesuai dengan diri anda ?

5. Tuliskan perkara yang positif. Jangan menulis dekripsi yang berbau negatif, sedih, marah, tidak puas hati atau memberontak.

Saya sendiri menulis deksripsi diri banyak kali. Berkali-kali. Sehingga saya rasakan itulah deskripsi yang paling tetap dan sesuai yang benar-benar melambangkan diri saya. Ia mengambil masa kerana manusia memang sentiasa akan berubah dan nilai dalam diri turun berbeza.

Masa untuk melihat kembali dekripsi diri anda!






Tips Membaca Buku Supaya Tidak Lupa

11 01 2010

Saya baru sahaja mula menyelak laman pertama buku Robert Kiyosaki, apabila pembacaan saya terhenti seketika. Bersungguh-sungguh saya cuba mengingati apa yang telah saya baca dalam buku Think and Grow Rich, buku yang selesai dibaca minggu lalu. Penat otak saya cuma mengingati, tetapi tidak banyak poin yang saya dapat ingat kembali. Akhirnya saya selak semula buku tersebut takut-takut terlupa kandungannya.

Saya percaya anda juga pernah mengalami perkara yang sama. Masalah lupa atau merasa tidak cukup sentiasa ada dalam diri manusia.

Setelah habis dibaca, ada yang kecewa kerana kehidupan mereka tetap sama seperti dulu. “Aku dah baca 25 buku kekayaan dan kewangan peribadi, tapi aku tak kaya-kaya pun.. “

Terasa seperti tidak terberkas di hati, pelaburan membeli dan membaca buku dirasakan membazir, banyak masa telah dihabiskan untuk membaca. Lebih malang, bila penulis buku tersebut pula disalahkan kerana tidak dapat memberi hasil dan perubahan yang diharap-harapkan. Kerana kecewa lama-kelamaan terasa malas dan tidak bermotivasi untuk terus membaca.

Dan ia terhenti disitu. Berkuburlah impian untuk melakukan perubahan.

Pernahkah anda merasa pengalaman membaca seperti itu ?

Teringat pesan Opah,”Bila kita belajar semasa kecil ibarat menulis diatas batu..”. Memang lebih mudah mengingat apa yang dibaca ketika kecil kerana otak ketika itu seperti span yang menyerap air. Sehinggakan boleh menghafal baris demi baris dengan mudah. Tetapi bila semakin dewasa, daya ingatan juga akan menjadi semakin berkurangan. Bahan bacaan juga menjadi semakin terpilih.

Tips Membaca Buku Amali Supaya Tidak Lupa

1. Praktiskan ke semua langkah, dan lakukan sekarang! Kita mungkin menjadi lebih berpengetahuan selepas membaca buku tersebut, tetapi ia tidak dapat mengubah apa-apa pada diri jika tidak dilaksanakan. Rencanakan langkah yang perlu diambil seterusnya.

2.Cari kesamaan cerita dalam buku dengan cerita kehidupan kita. Bila kita rasa ada kesamaan cerita di dalam buku tersebut dengan kehidupan kita, maka lebih mudah kita mengingati kandungannya.

3. Jika dibaca, kita memperoleh pengetahuan. Tetapi bila kita amalkan, akan berlaku perubahan. Pengetahuan semata tidak menjamin perubahan.

4. Ulangi poin penting didalam buku. Buat catatan di tepi atau letakkan post-in stiker di halaman buku yang penting. Ini memudahkan kita mencari poin penting dalam buku sebagai rujukan.

5.  Membaca dengan niat untuk menuntut ilmu. Mulakan dengan Basmallah. Itu satu ibadah. Ibadah akan diberi ganjaran pahala. Sekurang-kurangnya pahala telah tersedia.

6. Catatkan kata-kata mutiara. Walaupun ini bukan intipati buku tetapi ia memberi inspirasi.

7. Beri ulasan mengenai buku tersebut. Ulas mengikut kefahaman dan letakkan ulasan anda sebagai nota dan kongsikan dengan rakan anda. Lihat apa pandangan mereka terhadap ulasan anda. Gunakan Facebook untuk berdiskusi.

Mungkin ilmu yang kita baca tidak dapat membantu secara hari ini. Tetapi bila kita kumpulkan ilmu tadi hari demi hari, ia akan mencipta satu gambaran keseluruhan mengenai topik yang kita baca. Ada yang menyatakan, untuk sesuatu perubahan itu berlaku ia memerlukan usaha selama 40 hari secara berterusan.

Cubalah!






Bagaimana Melayan Pelanggan Cerewet

9 12 2009

Pepatah menyebutkan bahawa pelanggan adalah raja. Tanpa mereka apalah erti perniagaan kita. Mereka perlu dilayan sebaiknya demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Realitinya, dalam memberikan layanan kelas A kepada pelanggan, akan ada pelanggan berkelas F. Lebih-lebih lagi pelanggan yang pantang kita lakukan kesilapan, melenting seolah-olah dia sahaja yang betul. Memang sebagai tuan punya perniagaan, ini adalah ujian kesabaran. Darah akan terasa naik ke muka, degup jantung menjadi semakin laju. Kalau sudah terlalu marah, nada suara mula bergetar dan tersekat-sekat, percakapan seolah-olah tidak kena dan terasa benar ingin menamatkan perbualan tersebut secepatnya.

Pelanggan macam inilah yang selalunya menimbulkan ketegangan. Dilayan makin menjadi, tidak dilayan lagi teruk jadinya.

Tips Mengawal Perbualan ‘Panas’ Pelanggan Cerewet

Apabila kita bertemu pelanggan sebegini, kita hanya perlu banyak bersabar dan menarik nafas panjang beberapa kali. Ini membantu mengawal tutur kata. Berkata bila perlu, lebih bersifat informatif dan memperlihatkan bantuan yang ingin dihulurkan kepada pelanggan.

1. Terima dan fahami perasaan pelanggan ketika itu. Mulakan ayat kemaafan seperti “Maaf Tuan. Kami juga tidak sangka perkara tersebut akan berlaku..” Pelanggan dalam keadaan yang marah dan tertekan, jangan kita bersifat defensif dan ayat seolah-olah tidak menerima teguran.

2. Biarkan pelanggan selesai bercakap walaupun seolah-olah tidak akan berhenti. Gunakan bahasa badan tanda anda fahami atau dengan menggunakan ayat-ayat pendek bersetuju seperti “Oh begitu..”, “Ehemmm.. “

3. Banyakkan mendengar kurangkan bercakap. Minta pandangan penyelesaian dari pelanggan. Pelanggan mungkin ada cadangan mengikut kemahuannya. Dengarkan dan pertimbangkan. Seolah-olah kita menganalisa cadangan pelanggan, kita akan kelihatan lebih terbuka dengan pelanggan. Pelanggan ketika ini mungkin akan sedikit sejuk dan nada amarah mereka mungkin sudah menurun.

4. Jika cadangan mereka tidak boleh dilaksanakan, berikan cadangan alternatif.

Ada syarikat makanan segera memberikan makanan lebih secara percuma sekiranya pesanan diterima lewat. Ini sebenarnya cara untuk mereka ‘menutupi’ mulut pelanggan yang tidak berpuas hati. Pelanggan yang mukanya tadi masam dan kelat terus berubah tersenyum lebar ke telinga bila dapat makanan percuma!

Beli pelanggan anda…






Tips Memilih Program Affiliate Untuk Usahawan Internet Baru

13 10 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca blog yang saya hormati,

Tidak dinafikan salah satu program menjana pendapatan yang paling mudah adalah dengan menyertai program affiliate. Selain daripada mudah dan percuma, selalunya ia menjadi platform dimana usahawan internet yang baru ‘mencuba nasib’ untuk mula memperolehi pendapatan di internet. Hanya sertai, dapatkan kod affiliate dan mula promosi. Sekiranya terjual, komisen akan diperolehi.

Tetapi ada satu tabiat di internet dimana kita suka,rajin dan berminat untuk mendaftarkan diri di dalam program affiliate. Malangnya program tersebut tidar benar-benar menjana pendapatan untuk kita. Maka tidak hairanlah, menurut kajian cuma 2% sahaja dari usahawan internet yang menyertai program affiliate benar-benar menjana pendapatan.Kita lupa bahawa menjadi ‘promoter’ kepada produk lain juga memerlukan teknik dan juga strategi yang betul.

Tips Memilih Program Affiliate Bagi Usahawan Internet Baru

Kejayaan menjual dari program affiliate sebenarnya sangat bergantung kepada kredibiliti penjual. Teknik dari mulut ke mulut usahawan internet, akan mempengaruhi pelanggan untuk membeli. Untuk menjana pendapatan dari program affiliate perlulah melihat dari pelbagai sudut. Antaranya :

1. Memilih program affiliate

Teringat saya kepada rakan ketika makan lunch buffet di sebuah hotel. Oleh kerana ia adalah buffet, maka rakan saya tadi mengambil sebilangan besar makanan yang terhidang. Yang lucunya, ada makanan yang tidak diketahui namanya. “Bayar mahal-mahal.. bila lagi nak rasa macam-macam”. Akhirnya makanan yang tidak kena dengan seleranya tidak dimakan. Kan lebih baik jika beliau memilih dahulu sebelum mengambil makanan tersebut ? Pembaziran itu sahabat akrab syaitan.

Memilih bererti membuat penilaian terlebih dahulu sebelum menyertai.Lihat siapa penganjur program tersebut. Nilaikan kredibiliti penganjur. Selain itu lihat juga imbuhan yang bakal diterima. Adakah dalam bentuk peratus komisen, tarikh pembayaran, kaedah pembayaran dan sebagainya.

2. Sumber dari pakar atau ahli

Pernah dengar istilah “Jack of all trades, master of none”. Ia adalah ucapan yang merujuk kepada orang yang sangat umum, tetapi tidak mempunyai kemahiran /specialist dalam bidang tertentu. Pelanggan yang spesifik akan membeli dari orang yang pakar, mahir dan berpengalaman.

Andaikan anda mencari kasut. Kedai mana yang anda lebih gemar kunjungi sama ada kedai sukan Al Ehsan, atau pasaraya Giant ? Bagi anda yang inginkan lebih pilihan yang lebih spesifik akan suka ke kedai spesialist dan bukan ke gedung umum yang menjual 1001 barangan.

3. Sentiasa menjaga kredibiliti

Internet adalah dunia maya. Meyakinkan pelanggan untuk membeli di dunia maya adalah mencabar. Di internet, kuasa pemasaran mulut-ke-mulut jauh lebih berkesan. Pelanggan mempunyai kecenderungan untuk membeli sekiranya kenalannya yang boleh dipercayai mencadangkan pembelian tersebut. Ini adalah kredibiliti. Sertai program affiliate yang tidak berlawanan dengan kredibiliti anda.

4. Tidak bersilang dengan produk lain

Sekiranya anda dalam industri pertanian, cuba sertai program affiliate yang terlibat dengan pertanian juga. Ini membantu anda mengekalkan kredibiliti dan seniority anda. Satu lagi adalah istiqomah atau konsisten. Jika anda menjual produk pertanian A, jangan pula dalam masa yang sama mempromosikan produk pertanian B. ‘Walk the talk’, cakap mesti serupa bikin!

Anda boleh sertai banyak program affiliate, tetapi jangan lupa matlamat asal anda. Kalau sekadar suka-suka menyertai affiliate mungkin tidak mengapa. Tetapi bukankah matlamat anda ingin menjana pendapatan? Jika bukan mengapa anda habiskan masa anda dengan menyertai tetapi tidak komited.

Perbaiki cara kerja.

Pelancaran semula Program Affiliate Irwan Dahnil

Saya akan melancarkan suatu produk baru yang unik tidak lama lagi. Oleh itu saya ingin menjemput dan mempersilakan anda untuk menjadi sebahagian dari penggiat perniagaan internet yang lain untuk menyertai program ini. Program affiliate ini telah saya masukkan link untuk produk Akademisms.com dan anda boleh mula melakukan promosi.

Dari semasa ke semasa, saya akan tambahkan kumpulan produk (selain dari Akademisms.com) sedikit demi sedikit. Insyallah, komisen juga akan saya ubah sedikit masa lagi (buat masa sekarang cuma 10%), dan penyertaan sebagai ahli affiliate akan saya tutup bila telah memenuhi matlamat nanti.

Sebelum anda sertai, cuba anda ikutkan tips yang saya berikan tadi. Adakah ia bertepatan dengan anda ? Jika ya, sertailah program affiate yang mudah ini dan ianya percuma. Layari http://www.idjv.net






Tips Membeli Kereta Untuk Usahawan

5 10 2009

Assalamualaikum & Salam Sejahtera Pembaca Blog yang Dihormati,

Lebih sebulan saya tidak mengemaskini blog ini. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin sekiranya terdapat tersalah dan terkasar bahasa saya sepanjang penulisan saya dalam blog ini. Pejam celik, terasa benar 2009 pula menghampiri penghujungnya.

Topik hari ini adalah mengenai kereta. Bila hari raya menjelang tiba, jurujual kenderaan mula menggunakan taktik emosi untuk kesekian kaliannya.Bagi usahawan, mungkin ini menjadi salah satu kebanggaan pencapaian bisnes bila berkereta baru.

“Alangkah seronok dan meriahnya beraya dengan kereta baru!”

Majoriti dari kita mengetahui bahawa membeli kereta secara kredit itu adalah suatu liabiliti. Yang untung hanya bank sedangkan apabila kita membeli, harga kereta tersebut turun di saat ia keluar dari bilik pameran kenderaan. Membeli secara tunai pula kelihatan kurang bijak kerana wang yang ada boleh digunakan untuk simpanan atau pelaburan yang lebih menguntungkan.

Entah mengapa, selama bertahun-tahun lamanya, kereta itulah yang dipandang orang. Mata yang melihat akan terus kabur, dengan sentiasa memandang kereta itu sebagai lambang dan simbol kemewahan. Ini akan dikaitkan dengan perniagaan dan usahawan yang berjaya.

“Bisnes nampak hebat, takkan pakai kereta Kancil je ?”

Seolah-olah memandu Kancil tu rendah sangat tarafnya dan kerana frasa-frasa nakal seperti itulah maka ada usahawan yang sanggup rumahnya buruk tetapi kereta sanggup berkereta hebat. Malah rumah disewa dan bukan dibeli.Sanggup berkereta besar hanya untuk menunjukkan perniagaan laku dan laris.

Jadilah usahawan yang bijak, tidak termakan dengan apa yang dikata orang.

Tips Memilih Kereta Yang Sesuai Untuk Usahawan Kecil

1. Bagi yang bujang, jangan pilih kenderaan berpintu dua. Mungkin kereta akan kelihatan sporty & trendy, tetapi perlu beringat apabila anda telah berkahwin dan mempunyai anak. Pilih kereta berpintu empat masih selesa untuk dinaiki oleh anda dan pasangan dan 2 orang anak. Sekurang-kurangnya orang lain juga selesa menaikinya dan anda tidak perlu menukar kereta hanya disebabkan saiz keluarga yang bertambah.

2. Jenama Toyota dan Honda selalu menjadi pilihan kerana harga 2nd hand yang masih tinggi. Mungkin ia lebih mahal, tetapi ia lebih menjimatkan untuk jangka masa lebih dari 5 tahun. Sesetengah kenderaan sudah mula mendapat ’sakit tenat’ selepas 3 tahun.Jenama kenderaan Korea seperti Hyundai juga mempunyai kualiti yang baik, tetapi nilai jualan semula yang jatuh merudum. Kalau ingin selesa, boleh dapatkan kenderaan ini tetapi niatkan dihati yang kenderaan ini akan dipakai sehingga hancur dan lunyai. Untuk dijual kembali mungkin tidak berbaloi.Tidak termasuk pemasangan tempatan seperti Hyundai menjadi Inokom atau Kia menjadi Naza, kejatuhan harga kenderaan lebih parah disamping kebanyakan kualiti import lebih baik daripada jenama pemasangan tempatan.

3. Sekiranya kehidupan anda masih belum stabil seperti anda ingin meneruskan pengajian ke luar negara, atau ingin berpindah kawasan seperti migrasi ke tempat lain, mungkin tahan dahulu selera membeli kereta. Saya antara orang yang sering menangguhkan pembelian kenderaan kerana niat dan matlamat menyambung pengajian. Bermula Oktober 2009, keluarga saya akan berpindah ke Sabah, maka tertangguh lagi pembelian kereta idaman.

4. Kenderaan import terpakai (recond) juga mempunyai nilai jualan semula yang rendah. Ambil contoh seperti BMW dan Mercedes yang berharga RM150,000 setelah dibawa masuk, akan jatuh sehingga RM100,000-RM120,000 apabila model baru diperkenalkan. Bila membeli perhatikan bilakah model baru kenderaan tersebut akan dikeluarkan. Katakan anda membeli Toyota Wish yang dikilangkan tahun 2009 berharga RM130,000 dan pada tahun 2o10 keluar pula model baru Toyota Wish. Anda akan dapati kenderaan anda akan turun harga secara automatik dengan pengimportan kereta model baru.

5. Beli sahaja kereta terpakai (2nd hand). Kebanyakan mata yang menilai kereta sebagai simbol kekayaan sebenarnya tidak tahu pun harga sebenar kereta. Asalkan kereta BMW atau Mercedes, itu sudah dianggap hebat. Kereta yang berumur lebih 10 tahun pula akan berada sekitar RM50,000 sahaja. Mungkin terdapat kos penyelenggaraan yang sedikit tinggi, Percaya atau tidak walaupun ia kereta terpakai ia tetap mempunyai aura dan kelas yang tersendiri.

6. Pernah dengar istilah 2nd car ? Atau juga bermaksud kenderaan kedua. Apabila membeli kereta hebat, tentunya belanja minyak dan penyelenggaraan juga tinggi. Untuk mengurangkan kos, maka usahawan menggunakan kenderaan kedua untuk urusan harian dan hanya menggunakan kereta hebat untuk urusan rasmi. Maka tidak hairanlah ramai berBMW atau berMercedes, tetapi hari-hari biasa cuma memandu Kancil atau menunggang motorsikal sahaja. Jimat bukan ?

7. Pertimbangkan juga kenderaan pelbagai guna (MPV). Sesuai untuk pelbagai urusan dan penggunaan! Kenderaan seperti Avanza, Grand Livina dan Exora menepati ciri-ciri bergaya disamping berguna untuk mengangkut barangan atau orang :)

Membeli kenderaan dan bertukar-tukar kenderaan secara kerap adalah satu amalan yang membazir. Oleh itu apabila membeli kenderaan pilih kenderaan yang paling sesuai dengan keperluan jangka sederhana dan juga budget anda. Jangan ikutkan nafsu apabila melihat kereta yang menggoncang iman :)

Jangan bimbang kalau kenderaan anda bukanlah yang paling mahal, paling canggih atau paling hebat. Kerana setiap tahun pasti akan muncul model baru yang lebih baik, lebih hebat dan lebih cantik.

Anda tidak akan rugi kalau tidak membeli kenderaan secara terburu-buru sekarang.






Menyediakan Play Fund - Berbaloi-baloi!

13 08 2009

“Boleh ke bisnes ni ? Dah keluar modal beribu-ribu, tapi bisnes tak jalan. camner ? Buat rugi je “

Isu yang sering bermain di minda orang yang mahu mula berniaga. Walau pun secara cuba-cuba, terdapat sedikit keraguan jikalau perniagaan yang baru tidak berjaya. Duit gaji yang disimpan bertahun-tahun, boleh lenyap sekelip mata. Risau rugi membungkam diri. Terpalit rasa menyesal menghabiskan wang tanpa hasil.

Teknik cuba-cuba dalam perniagaan adalah satu teknik yang telah lama dipraktiskan dari dahulu. Sedar atau tidak kita sendiri mungkin terlibat dengan teknik cuba-cuba berniaga ini. Anda juga tentu pernah menggunakan teknik cuba-cuba ini.

- Anda mungkin pernah menyertai satu skim yang mempunyai pelan pemasaran dan insentif yang hebat.
- Anda mungkin pernah menyertai perniagaan internet apabila ia digembar-gemburkan membawa pulangan yang berbaloi.
- Anda mungkin pernah mencuba perniagaan SMS kerana ia adalah perniagaan yang boleh dilakukan dari rumah.
- Anda mungkin pernah mencuba membeli ebook yang mempunyai potensi untuk membuatkan anda kaya.

Adakah anda menyesal kerana mencuba perniagaan tersebut ?

Pengalaman MLM Saya

13 tahun dahulu, saya telah terlibat dengan perniagaan MLM. Bermodalkan RM1,600 banyak yang saya pelajari dari MLM ini lebih-lebih lagi dalam teknik pemasaran. Walaubagaimana pun, perniagaan MLM yang saya ceburi tidak begitu berjaya.  Maka saya tinggalkan.

Ketika saya gagal meneruskan perniagaan MLM, saya tanya diri saya sendiri. Adakah saya menyesal dengan langkah saya menyertai MLM tersebut ? Adakah saya rasa kerugian yang amat sangat kerana tidak mendapat hasil ?

Jawapan saya TIDAK. Ini adalah kerana saya menggunakan dana Modal Permainan.

Apakah PlayFund ?

Modal Permainan @ Play Fund adalah merujuk kepada satu bentuk modal yang kita boleh gunakan untuk mencuba perniagaan baru. Saya tidak pasti apakah istilah yang tepat untuk modal ini, tetapi dana ini saya gunakan setiap kali saya ingin mencuba perniagaan yang baru.

Syarikat besar mempunyai jabatan @ unit khas untuk menjalankan kajian dan pembangunan (R&) organisasi dan diperuntukkan sejumlah wang. Konsep Play Fund mirip kepada konsep perbelanjaan R&D syarikat besar.  PlayFund adalah untuk peruntukan kewangan kepada kita untuk mencuba perniagaan baru.

PlayFund ini umpama belanja hangus, tidak mendatangkan hasil yang nyata. Ia adalah duit untuk kita belanjakan!

Mengapa Perlu PlayFund ?

Setiap daripada kita adalah unik. Ada seorang jurutera yang saya kenal, berminat dengan bidang seni. Ada juga programmer yang saya kenal, saya berminat dengan bisnes pertanian. Kadang2 yang kita minat itu terlalu jauh menyimpang dari apa yang kita lakukan.

Sebagai contoh ,seorang jurutera yang tidak mempunyai latarbelakang pertanian ingin mencuba bisnes tanaman cili. Beliau hanya berbekalkan minat sahaja. Tiada ilmu, tiada pengalaman.

Dengan adanya PlayFund, beliau boleh mencuba memulakan tanaman secara kecil-kecilan. Sekadar mencuba, tidak mengharapkan pulangan. Yang penting beliau dapat pelajari dan rasai sendiri pengalaman tersebut.  Sekiranya percubaan tadi berjaya, barulah fikirkan secara serius untuk melabur dalam bisnes cili yang sebenar. Sekiranya tidak berjaya, beliau boleh mencari punca, pelajari sebab dan bagaimana mengatasi masalahnya. Atau beliau masih boleh menarik diri dari menceburi tanaman cili!

Tindakan menggunakan Play Fund adalah sangat baik, berbanding dengan melabur terus kepada bisnes cili tanpa mengetahui apa-apa. Ia dapat menyelamatkan wang ringgit! Lebih baik lebur sedikit wang dari lebur seluruhnya..

Saya cukup kasihan bile mendengarkan orang yang berhutang atau membelanjakan seluruh wang simpanannya hanya untuk menyertai perniagaan yang dia sendiri tidak faham dan tiada pengalaman. Banyak kes seperti ini yang kita dengar.

Mendapatkan Play Fund

Ia tidak datang dari langit. Ada beberapa kaedah :

1. Bagi yang sedang makan gaji, asingkan sedikit dari gaji bulanan. Jumlah yang diasingkan ada bergantung kepada kemampuan. Ada yang yang memperuntukkan RM10 atau RM50 sebulan. Ada juga memperuntukkan 5 peratus hingga 15%.

2. Bagi usahawan, peruntukan sedikit keuntungan untuk dijadikan Play Fund.

3. Dapatkan dari ibu bapa yang boleh sponsor sekiranya mereka mampu. Minta sikit duit dari mereka! Ibubapa mana yang tidak menyokong anak yang nak mula berniaga :)

4. Kalau anda rajin sedikit, dapatkan geran peruntukan kerajaan. Bagi teknologi, MDEC menyediakan geran sebegini. Sirim juga menyediakan beberapa geran yang sesuai dengan projek yang ingin diceburi.

Kalau anda ingin cuba bisnes yang bermodal besar, maka peruntukan Play Fund juga harus besar.

Menggunakan PlayFund

Play Fund hendaklah digunakan secara cermat. Sebelum anda menggunakan dana tersebut, senaraikan dahulu perkara-perkara yang hendak dibeli. Dapatkan harga barangan dan jumlahkan. Dapatkan kos keseluruhan untuk satu2 bisnes baru yang ingin anda ceburi.

Jangan belanja Play Fund lebih dari yang diperuntukkan. Sekiranya anda gunakan PlayFund secara berlebihan, anda mungkin tidak mempunya dana yang cukup untuk mencuba perniagaan yang lain pula.

Ketika saya mulakan MLM, saya cuma tetapkan bahawa kos saya hanya RM1,600. Tidak lebih. Disebab tujuan saya adalah untuk mempelajari selok belok MLM, maka bagi saya RM1,600 adalah satu jumlah yang munasabah untuk saya belanjakan. Saya tidak mengharapkan pulangan hasil atau keuntungan. Mental saya sudah tetapkan bahawa saya tidak akan rasa rugi kerana membelanjakan sejumlah wang untuk ilmu.

Ketika saya memulakan perniagaan SMS pula,  Play Fund saya adalah sekitar RM5,000. Saya belanjakan bagi pelbagai tujuan. Beli web hosting, beli domain, sewa SMS gateway, server payment gateway, beli autoresponder, belanja promosi, upah programmer dan sebagainya.  Habis begitu sahaja.

4 Perkara Pasti yang Diperolehi Dari Play Fund

Kita akan rasa rugi dan menyesal kalau modal yang kita keluarkan tidak memberikan hasil. Berbeza dengan Play Fund, minda kita telah setkan bahawa kita tidak akan rasa rugi untuk mencuba sesuatu. Kita bersedia untuk mempelajari sesuatu dari konsep cuba-cuba bisnes.

1. Pengalaman : Priceless! Kalau tak cuba kita tidak tahu.

2. Pengetahuan : Bila kita mencuba sesuatu yang baru, kita akan sentiasa tertanya-tanya. Bagaimana dan mengapa. Kita akan menjadi semakin celik dan semakin faham sesuatu bisnes itu.

3. Keyakinan : Bila dah berpengalaman, maka baru wujud keyakinan. Jurutera yang menanam cili secara cuba-cuba, akan berani melabur lebih banyak wang untuk bisnes cili yang lebih besar. Kerana pengalaman dan pengetahuan telah terbina ketika proses cuba-cuba.

4. Strategi : Rancangkan strategi bisnes yang terbaik. Ini dipanggil best practice. Kita dah tahu, mana yang berjaya mana yang gagal. Strategi lebih mengenai selepas ini.

Jika minda kita sudah bersedia, kita tidak akan rasa menyesal, rugi, takut, atau kecewa sekiranya perniagaan kita tidak berjaya.

Play fund sebanyak RM5,000 yang saya belanjakan setahun yang lalu kini telah membuahkan hasil.  Projek telah saya besarkan skalanya dan memberikan hasil RM50,000. Bukan hanya setakat pulang modal, tetapi perniagaan juga semakin membesar.Sekarang saya menyediakan Play Fund untuk projek RM500,000 pula.

Sekadar contoh nyata betapa berbaloinya menyediakan Play Fund.

Bisnes Tanpa Play Fund ?

Ibarat membuka satu pintu kejayaan, menutup satu lubang kegagalan. Menyediakan Play Fund ibarat membuka satu pintu. 90 peratus bisnes baru tutup dalam masa 5 tahun  selepas penubuhan. Lebih banyak anda mencuba, lebih tinggi peratus kejayaan dalam perniagaan. Pilihan di tangan anda!

Saya doakan perniagaan idaman anda akan tercapai! Bak kata Amy Search ” Berbaloi-baloi! “ :)






Mengatasi Penyakit Kebanjiran Maklumat di Internet

21 07 2009

Pernahkah anda mengalami situasi di mana anda mula melayari internet, dan secara tanpa anda sedari anda telah sampai ke laman web yang anda sendiri tidak jangkakan ?

Tidak pasti ? Cuba buat pemeriksaan singkat :

1. Anda terasa stres. Tidak kira berapa banyak kajian di internet yang telah dilakukan, anda tetap merungut kerana
sentiasa terasa maklumat yang penting tertinggal.

2. Memori ingatan yang lemah. Anda terasa susah untuk mengingati nama-nama penting, tarikh atau maklumat terperinci.

3.  Risau melampau. Anda mudah terganggu, berkhayal dan berangan-angan di siang hari.  Anda akan mempunyai masalah untuk menumpukan perhatian kepada sesuatu tugas dan sering menunda tugasan walau tugasan itu mudah.

Sekiranya anda mempunyai simptom tersebut, ada baiknya anda ‘tune’ semua diri anda.

Dalam kehebatan internet menyebarkan maklumat di ruang siber, sebenarnya telah wujud satu bentuk penyakit yang
sangat merbahaya. Kita yang hidup di dalam dunia yang meletup dengan maklumat sebenarnya sangat terdedah dengan penyakit ini. Hanya dengan menaip satu patah perkataan di internet, kita disajikan dengan 1001 maklumat.

Kebanjiran maklumat atau information overloading adalah merujuk kepada keadaan dimana kita diberikan terlalu banyak maklumat tetapi hanya menggunakan terlalu sedikit maklumat tersebut!

Saya Adalah Pengidap

Saya merupakan salah seorang ‘pengidap’ penyakit ini. Sejak tahun 2006, hidup saya hanya berlegar dengan internet. Semua maklumat saya capai dari carian Google, malah saya tidak lagi melanggan akhbar. Aktiviti bersosial juga berkurangan kerana semua yang menggembirakan saya ada di internet.

Apabila saya ingin membeli sesuatu, internet sangat membantu. Saya boleh membuat carian dengan membandingkan spesifikasi produk yang saya inginkan, membandingkan harga dan membuat penilaian awal sebelum betul-betul membeli.  Ini sangat menjimatkan masa dan meningkatkan kemampuan membuat keputusan yang lebih tepat.

Tetapi dalam masa yang sama, saya mula mengabaikan beberapa elemen penting yang biasa saya lakukan sendiri sebelum itu. Saya tidak lagi menghafal tarikh-tarikh penting termasuklah tarikh lahir kenalan dan sahabat. Saya akan andalkan kepada internet yang mempunyai sistem PDA sendiri untuk menguruskan semua jadual tersebut. Nombor telefon rakan-rakan juga saya abaikan. Begitu juga dengan menghafal maklumat akaun perbankan.

Ibarat, kalau tiada internet saya pasti ‘mati’!

Tetapi lama kelamaan saya sedari saya mengidap tanda-tanda seperti diatas. saya mula malas, terasa stress seolah-olah kerja tak pernah selesai, atau sentiasa bimbang dengan perkara yang tidak perlu dibimbangkan.

Saya pernah menunda penerbitan sebuah buku yang telah siap ditulis pada Julai 2008 ke Mei 2009 hanya kerana saya sentiasa rasakan buku tersebut tidak pernah lengkap!

Anda Mungkin Pengidap Seterusnya..

Saya teringat kepada post di blog saya sebelum ini. rakan-rakan yang menghantar email kerana terasa kebuntuan dan
tidak tahu dimana ingin bermula perniagaan disebabkan terlalu banyak maklumat yang telah dibaca di internet. Ini merupakan satu petanda yang mereka juga boleh menjadi mangsa seperti saya.

Quick check : Apabila anda membaca banyak maklumat di internet, adakah anda akan mengambil sesuatu langkah yang penting selepas itu ? Atau anda hanya membaca, membaca, membaca dan akhirnya berada dalam kesamaran ?

Kalau anda masih lagi berada dalam kesamaran, berhenti seketika. Anda mungkin telah mula dihidapi simptom tersebut!  Sekiranya tanda-tanda telah kelihatan, anda perlu lakukan sesuatu.

Langkah-langkah Mengurus Maklumat Yang Keterlaluan

1. Ada tentukan apakah yang anda inginkan. Tetap dan fokus. Selain dari itu, jauhkan atau tutup sahaja tetingkap browser. Ini dapat membantu mencegah anda terlalu ‘teruja’ membaca sesuatu yang tidak releven. Perkara yang menyeronokkan seperti gosip, berita artis, sukan atau sosial merupakan subjek yang senang ‘mencairkan’ dan
membuatkan anda khayal.

2. Rancang dan susun kerja anda supaya maklumat yang diperolehi lebih  tersusun. Letakkan kerja atau tugasan dalam aturan 1,2,3 atau berkonsepkan carta alir. Cari maklumat di internet mengikut susunan kerja. Selepas lakukan 1, lakukan yang ke 2 dan seterusnya. Melompat-lompat kerja akan membuatkan kerja anda berterabur dan tidak tersusun.  Awas!

3. Kawal aliran maklumat. Ketepikan semua nafsu nafsi yang menggoda anda di internet. Jangan baca semua, fokus dan baca yang anda mahukan sahaja. Cuma kongsikan maklumat di tempat yang sesuai seperti blog, atau Facebook. Jangan kongsikan di semua laman yang anda masuk. Ini cukup membuang masa.

4. Katakan ‘TIDAK’ kepada mereka yang mencuri masa anda. Ini termasuklah rakan chat, gossip dan melayari internet yang tidak bertujuan.

5. Buat senarai tertinggal dan lekat di dinding. Senarai tertinggal adalah perkara-perkara yang anda belum selesaikan. Tuliskan besar-besar sekurang-kurang saiz kertas A4 dan lekatkan di dinding. Gunakan warna yang terang dan ’striking’. Ini akan sentiasa menjadi motivasi dan pendorong anda untuk kekal fokus di internet.

Alhamdulillah, saya kini telah dapat menyesuaikan diri dengan ledakan maklumat yang melampau di internet. Saya sentiasa mempunyai 3 planner bertulis (bukan PDA), yang sentiasa saya tuliskan menggunakan pen berwarna sebagai pengingat diri. Saya sentiasa catatkan di dinding perkara yang masih belum saya capai untuk tahun ini. Saya sentiasa lakukan mengikut keperluan.

Saya berharap anda tidak mengalami masalah dan penyakit seperti saya. Semoga anda terus bijak menguruskan maklumat dan sentiasa mendapat manfaat dengan maklumat di internet.